UMAR AL-BANJARI THE GREAT


Dakwah bi al-Qudwah al-Hasanah: Keteladanan Melalui Sifat-Sifat Rasulullah
29/03/2009, 2:43 AM
Filed under: DAKWAH

Pendahuluan

Dewasa ini, masalah sosial yang berlaku di kalangan umat Islam khususnya di kalangan remaja dan belia-belia Islam sangat membimbangkan, keadaan diburukkan lagi apabila didapati mahasiswa dan mahasiswi yang beragama Islam yang diharapkan agar menjadi pembimbing, pemimpin dan contoh kepada rakan-rakan seusia yang lain turut terlibat sama. Ini terbukti apabila pada 19hb Februari 2009, rancangan “360” terbitan TV3 menyiarkan seorang mahasisiwi dari universiti terkemuka di ibu negara telah menjebakkan diri kedalam kancah maksiat dengan menjadi seorang pelacur.

Gejala penagihan dadah, zina, merokok, minum arak, gangsterisme dan lain-lain yang berlaku dikalangan umat Islam pada hari ini telah menyebabkan agama Islam dipandang hina oleh masyarakat Non-Muslim. Secara tidak langsung, ini juga akan menyukarkan usaha untuk berdakwah kepada Non-Muslim.

Gangguan pemikiran yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam daripada dahulu sehingga sekarang juga merupakan salah satu masalah yang telah banyak memberikan kesan negatif kepada umat Islam menyebabkan sebahagian mereka keliru terhadap pegangan akidah mereka serta tidak yakin dan hilang rasa bangga terhadap agama Islam yang dianutinya.

Keadaan ini diparahkan lagi dengan keadaan sebahagian juru dakwah yang menyeru mereka untuk kembali kepada Islam, tetapi amalan dan perlakuan juru dakwah itu sendiri tidak mencerminkan seperti apa yang diseru, malahan tidak ubah seperti sasaran yang diseru tersebut. Ini menyebabkan umat Islam pada masa kini tidak mengetahui dan keliru, kepada siapakah harus mereka contohi? Tugas berdakwah bukan hanya pada orang-orang yang digelar “pendakwah” yang sedang menuntut atau yang telah menerima ijazah daripada universiti apatah lagi yang diberi gelaran lebih istimewa iaitu”pendakwah bebas” sahaja, tetapi pada setiap umat Islam yang beriman, lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin umat Islam. Ini kerana mereka adalah tumpuan masyarakat. Justeru, para pendakwah dan yang terlibat dengan tugas-tugas dakwah seharusnya memahami saranan Allah S.W.T supaya menunjukkan contoh keteladanan yang baik seperti dalam surah Al-Nahl ayat ke-125: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.”

Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama mengimbas dan melihat kembali keteladanan yang ditunjukkan rasulullah agar kita bersama dapat memanfaatkannya untuk dipraktikkan di dalam berdakwah mahupun kehidupan seharian.

Bab 1. Sifat-sifat Rasulullah yang patut dijadikan teladan

1.1 Malu
Rasulullah merupakan contoh agong dalam dakwah melalui contoh keteladanan. Antara sifat-sifat yang ada pada baginda dan perlu pula wujud didalam diri setiap pendakwah ialah sifat malu. Maksud malu menurut Kamus Dewan edisi ke-empat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah berasa aib, hina kerana membuat sesuatu yang salah atau yang tidak sopan atau berasa tidak senang.
Sabda Rasulullah yang bermaksud “malulah kamu terhadap Allah dengan sungguh-sungguh”, para sahabat menjawab “Alhamdulillah, sungguh kami malu terhadap Allah ya Rasulullah”. Baginda lalu menegaskan lagi “bukan itu yang ku maksudkan, malu akan Allah ialah selalu memelihara akal fikirannya, dan selalu memelihara perutnya dengan segala isinya, dan selalu ingat mati dan hancurnya badan. Barang siapa yang berbuat demikian, maka sesungguhnya dia telah malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.( al-Bazzar, Musnad 5:392, no.2025, Abdullah ibnu Mas’ud).
Dalam hadis-hadis, banyak riwayat yang menceritakan tentang sifat pemalu baginda. Antaranya dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri R.A yang bermaksud ,“Adalah Rasulullah itu lebih pemalu daripada gadis pingitan di dalam rumah. Dan apabila baginda bencikan sesuatu, maka hal itu dapat kami ketahui melalui wajahnya”.

Maka, melihat kisah yang terdapat di dalam hadis diatas, sememangnya penting kepada juru dakwah supaya wujud di dalam diri mereka perasaan malu terhadap perkara-perkara yang tidak baik dan boleh mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T.

1.2 Tawadu’
Seterusnya, sifat yang perlu ada pada seorang pendakwah ialah tawadu’. Tawadu’ atau maksudnya rendah hati ialah merendahkan diri tanpa menghinakannya atau meremehkan harga diri sehingga orang lain berani menghinanya dan meremehkannya. Tidak pernah didengari kisah baginda Rasulullah bersikap takbur terhadap para sahabat-sahabat.

Antara riwayat yang menyebut tentang tawadu’nya baginda ialah ketika datang seorang lelaki kepada baginda, dan berkata kepada baginda,“engkau itu sayyid(pemimpin) orang-orang Quraisy” maka baginda menjawab,”sayyid itu ialah Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi.(Ahmad, Musnad, 26:242, no.16316)

Dalam kitab “al-Shamail al-Muhammadiyyah” karangan Imam Tarmizi, baginda bersabda: “jangan kamu berlebihan dalam memujiku, sebagaimana orang-orang Nasrani memuji Isa Ibn Maryam, sesungguhnya aku adalah seorang hamba, oleh itu, katakanlah, ”hamba Allah dan Rasul-Nya”.(sahih al-Bukhari, kitab ahadith al-anbiya’ bab firman Allah Ta’ala: “wazkur fi al-kitabi Maryam iz istanbadhat min ahliha, no. 3445)

Berdasarkan riwayat diatas, para pendakwah hendaklah menjauhkan diri dari sifat takbur sebaliknya mestilah sentiasa menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji. Ini kerana pendakwah adalah orang yang sentiasa bergaul dan berhubung dengan masyarakat dan diharap akhlak mulia yang ditunjukkan akan mudah diikuti.

1.3 Pemaaf
Selain itu, sifat yang ada dalam diri Rasulullah yang mesti diikuti ialah sifat pemaaf. Pemaaf diambil daripada kata dasarnya iaitu “maaf”. Maksud maaf menurut Kamus Dewan edisi ke-empat ialah kerelaan melepaskan atau membebaskan seseorang daripada hukuman atau denda kerana sesuatu kesalahan. Dalam bahasa Arab disebut al-afwu iaitu memberi maaf terhadap kesalahan orang lain tanpa rasa benci dan dendam terhadap orang yang bersalah.

Ini bermaksud, orang yang memberi maaf untuk sementara waktu dan terdetik didalam hatinya untuk membalas pada waktu lain maka tidaklah dikatakan “memaafkan”. Hanyalah sekadar kata-kata manis sahajalah sedangkan keikhlasan daripada hati merupakan yang paling utama dalam memberi maaf.

Dalam kehidupan Rasulullah, terdapat banyak sekali riwayat yang menceritakan tentang sifat pemaaf baginda. Antaranya didalam Sahih Bukhari menceritakan, Hatib ibn Balta’ah telah memberitahukan rahsia kepada orang-orang Quraisy di Mekah bahawa Rasulullah akan datang ke sana. Ketika itu, Umar Ibn Khattab berkata kepada Rasulullah “biarkanlah aku memancung lehernya, kerana dia sudah menjadi munafik”. Tetapi Rasulullah menjawab, “hai Umar, tahukah kamu bahawa Allah telah melihat kepada orang-orang yang ikut peperangan Badar, dan berfirman : “buatlah apa yang kamu inginkan, sesungguhnya aku telah mengampuni dosa kamu sekalian”. (al-Bukhari, sahih al-jihad wa al-siyar, bab al-jasus, 6:250, no. 3007)

Dapat kita bayangkan dalam riwayat tersebut bahawa Rasulullah memaafkan sahabatnya Hatib Ibn Balta’ah, padahal dia telah membuka rahsia yang sangat penting untuk keamanan kaum muslimin yang akan berangkat ke Mekah. Tetapi Rasulullah cenderung untuk memaafkannya, kerana Hatib telah memberi alasan yang dapat diterima bahawa dia masih Islam dan khuatir akan keselamatan saudara-maranya yang berada di Mekah serta kelebihannya kerana termasuk orang-orang yang ikut serta dalam peperangan Badar.

Jadi, sifat pemaaf merupakan sifat yang perlu ada pada pendakwah kerana sejarah mencatatkan tiada seorang pun pendakwah yang istiqamah dalam memperjuangkan nilai Islam di dalam dunia ini yang tidak menghadapi onak dan duri, berhadapan dengan cacian dan makian. Oleh kerana itu, sabar wajib ada didalam jiwa orang yang beriman dan disertakan dengan sifat pemaaf.

1.4 Berhikmah dalam melakukan teguran
Salah satu perkara penting yang perlu difahami dan dikaji oleh pendakwah khususnya dan semua orang beriman amnya, hendaklah mengetahui cara baginda Rasulullah menegur dan memberi pelajaran terhadap orang lain. Menegur adalah satu diantara cara pendidikan dan pelajaran. Rasulullah menggunakan cara ini bila perlu, namun dengan pelbagai gaya dan cara, bergantung kepada situasi dan keadaan. Terdapat beberapa cara baginda dalam melakukan teguran, antaranya dengan melakukan isyarat, memalingkan wajah atau menampakkan kemarahan pada wajahnya.

Rasulullah sesekali menggunakan metod yang keras, misalnya, dalam sebuah riwayat menceritakan bahawa Mu’adz bin Jabal ditegur oleh Rasulullah kerana pada suatu hari sewaktu Mu’adz bin Jabal menjadi imam, dia telah memanjangkan bacaan sehingga ada diantara ma’mum yang terpaksa menghentikan solat dan keluar kerana tidak mampu untuk terus bersama mengikuti solat yang terlampau lama itu. Lalu hal ma’mun yang keluar daripada jemaahnya itu diketahui olehnya, dengan lancang Mu’adz berkata :” dia adalah seorang munafik”, maka orang tersebut denagn rasa jengkel menemui Rasulullah mengadukan hal Mu’adz kerana terlalu lama dan sangat panjang bacaan semasa mengimami solat dan kata-kata yang dilontarkan Mu’adz terhadapnya. Maka dengan keras Rasulullah menegur Mu’adz dan berkata kepadanya :”apakah engkau akan menimbulkan fitnah hai Mu’adz?”, diulanginya sebanyak tiga kali.(Muh Alwy al-Maliki, Insan Kamil, 2002 m.s 393).

Adapun teguran Rasulullah itu adalah untuk menenangkan dan menyenangkan hati orang yang datang mengadu tersebut kerana Rasulullah melihat keluh kesah dan aduannya. Kerana jika hanya kerana memanjangkan solat, teguran Rasulullah pasti tidak akan sekeras itu, cukup dengan menerangkan bahawa jika menjadi imam janganlah terlalu memanjangkan bacaan, apatah lagi teguran itu ditujukan kepada Mu’adz yang cukup arif tentang hukum-hakam.

Justeru, dalam memberi teguran dan pengajaran, Rasulullah sendiri telah menunjukkan cara yang sepatutnya diikuti. Pada masa kini, dilihat terlalu banyak insan yang memberi ceramah, tazkirah dan pelajaran niatnya untuk berdakwah, tetapi semasa berceramah, dia mencaci dan memaki hamun individu-individu tertentu. Perlakuan-perlakuan seperti ini sudah tentu memburukkan nama dakwah dan memesongkan niatnya untuk berdakwah, kerana di dalam berdakwah, tidak diajar dan dituntut untuk dilakukan sedemikian rupa. Hal ini haruslah dititik beratkan setiap muslim dalam menyampaikan dakwah. Setiap perlakuan yang ditunjukkan akan dinilai oleh masyarakat. Jika baik akhlak yang ditunjukkan, ini pasti akan menaikkan nilai Islam di mata masyarakat dunia, tetapi jika akhlak yang buruk ditunjukkan, berkemungkinan Islam akan dipandang hina oleh masyarakat bukan Islam.

Kesimpulan

Kesimpulannya, pendakwah dan umat Islam pada masa kini harus sedar tanggungjawab mereka dalam memandu masyarakat pada hari ini ke jalan yang benar kerana beratnya cabaran-cabaran hidup dan persekitaran yang melalaikan umat Islam serta implikasinya kepada umat Islam khususnya muda-mudi pada masa sekarang. Kadang-kadang kelihatan pendakwah-pendakwah sekarang ini hilang integriti dan kepercayaan masyarakat keatas mereka. Kerana mereka dilihat tidak lebih sekadar hanya pandai berkata-kata sedang diri sendiri terpalit dengan perkara dan kes-kes yang buruk di mata masyarakat. Sehingga, masyarakat hilang arah kepada siapakah yang harus mereka serta anak-anak mereka jadikan contoh dalam mengaplikasikan nilai-nilai Islam. Perkara-perkara inilah yang menyebabkan pada zaman moden ini banyaknya jenayah dan gejala sosial berlaku.
Maka diharap agar kita dapat melihat kembali kepada Rasul kita junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Jika kita dapat berakhlak seperti mana mulianya Akhlak Rasulullah, dengan izin Allah, tidak mustahil kita tidak akan melihat lagi perkara-perkara buruk berlaku dengan leluasanya seperti masa sekarang.
Jadi, terdapat banyak lagi sifat dan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah yang dapat diambil dan diamalkan oleh setiap pendakwah. Namun, dengan contoh dan penerangan yang sedikit ini, diharap dapat pula diikuti. Kerana, sesuatu ilmu menjadi tidak berguna jika tidak diamalkan. Sabda Rasulullah S.A.W :” al-ilmu bila ‘amalin, ka al-syajarin bila samarin”, yang bermaksud, “ ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah”. Diibaratkan seperti pokok yang tidak berbuah, ini menunjukkan bahawa ilmu yang tidak diamalkan tidak akan mendatangkan hasil dan tidak akan membawa manfaat langsung kepada tuannya.

RUJUKAN :

Al-Quran dan terjemahan

Al-Bazzar, Abu Bakar Ahmad Ibnu ‘Amar Ibnu Abd al-Khaliq .1409H, Musnad, Tahqiq:
Mahfuz al-Rahman Zainullah. Cetakan 1, Beirut : Muassasah Ulum al-Quran.

Al-Bukhari / Abu Abdillah Muhammad Ibnu Ismail al-Jufi .1416H/1996M. Sahih Ma’a
al-Fath. Tahqiq : al-Shayk ‘Abd Allah Ibn Abd al-Aziz Ibn Baz. Cetakan 1,
Lubnan : Dar al-Fikri

Ahmad Ibn Hambal .1998M/1419H, Musnad. Tahqiq : Shu’ayb al-Arna’ut. Cetakan 1,
Beirut : Muassasah al-Risalah

Dr. Ahmad Muhammad al-Hufy, terjemahan Drs. H. Masdar Helmy & K. Abd Khalik
Anwar. Akhlak Nabi Muhammad S.A.W : Keluhuran Dan Kemuliaannya, Jakarta :
Bulan Bintang

Muh Alwy al-Maliki. 2002, Terjemahan Hasan Baharum, Insan Kamil : Muhammad S.A.W,
Cetakan 1, Kuala Lumpur : Victory Agencie


Tinggalkan Komen so far
Tinggalkan komen



Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s



Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: