UMAR AL-BANJARI THE GREAT


Mazhab Maliki
05/04/2009, 7:49 AM
Filed under: FIQH

PENGENALAN

Pemikiran fiqh mazhab ini diasaskan oleh Imam Malik. Ia dikenal luas oleh ulama sezamannya sebagai seorang ahli hadis dan fiqh terkemuka serta tokoh Ahlulhadits.

Pemikiran fiqh dan usul fiqh Imam Malik dapat dilihat dalam kitabnya al-Muwatta’ yang disusunnya atas permintaan Khalifah Harun al-Rasyid dan selesai di zaman Khalifah al-Ma’mun. Kitab ini sebenarnya merupakan kitab hadis, oleh kerana disusun dengan sistematik fiqh dan huraian di dalamnya yang juga mengandung pemikiran fiqh Imam Malik dan metod istinbat-nya, maka buku ini juga disebut oleh ulama hadis dan fiqh sebagai kitab fiqh.

Prinsip mazhab Maliki ditulis oleh para murid Imam Malik berdasarkan berbagai tanda yang mereka temui dalam al-Muwatta’. Dasar Mazhab Maliki adalah Al-Qur’an, Sunnah Nabi SAW, Ijma’, amalan penduduk Madinah (statusnya sama dengan sunnah menurut Imam Malik), Qiyas, Fatwa Sahabat, al-Maslahah al-Mursalah, ‘Urf; Istihsan, Istishab, Sadd al-Dzara’i dan Syar’u Man Qablana. Pernyataan ini dapat dijumpai dalam kitab al-Furuq yang disusun oleh Imam al-Qarafi (tokoh fiqh Mazhab Maliki). Imam asy-Syatibi menyederhanakan dasar fiqh Mazhab Maliki tersebut dalam empat hal, yaitu Al-Qur’ an, sunnah Nabi SAW, ijma’, dan Qiyas. Alasannya, kerana menurut Imam Malik, fatwa sahabat dan tradisi penduduk Madinah di zamannya adalah sebahagian daripada sunnah Nabi SAW. Yang termasuk dalam bahagian rasional adalah al-Maslahah al-Mursalah, Sadd az-Zara’i, Istihsan, ‘Urf; dan Istishab. Menurut para ahli usul fiqh, qiyas jarang sekali digunakan mazhab Maliki. Bahkan mereka lebih mendahulukan amalan penduduk Madinah daripada qiyas.

Para murid Imam Malik yang besar jasanya dalam menyebar luaskan Mazhab Maliki diantaranya adalah Abu Abdillah Abdurrahman bin Kasim (191 H) yang dikenal sebagai murid terdekat Imam Malik dan belajar pada Imam Malik selama 20 tahun, Abu Muhammad Abdullah bin Wahab bin Muslim (197 H.) yang sezaman dengan Imam Malik, dan Asyhab bin Abdul Aziz al-Kaisy (204 H) serta Abu Muhammad Abdullah bin Abdul Hakam al-Misri (214 H) dari Mesir. Pengembang mazhab ini pada generasi berikutnya antara lain Muhammad bin Abdillah bin Abdul Hakam (268 H) dan Muhammad bin Ibrahim al-Iskandari bin Ziyad yang lebih dikenali dengan nama Ibnu al-Mawwaz (296 H).

Disamping itu, ada pula murid-murid Imam Malik lainnya yang datang dari Tunisia, Irak dan Basra. Disamping itu mazhab Maliki juga banyak dipelajari oleh mereka yang berasal dari Afrika dan Sepanyol, sehingga mazhab ini juga berkembang di dua wilayah tersebut.

BAB 1

LATAR BELAKANG IMAM MALIK

1.1 Riwayat Hidup Imam Malik

Nama penuhnya ialah Malik bin Anas bin Abu Amir bin Amru bin Ghaiman bin Huthail bin Amir bin al-Haris. Imam Malik adalah Imam yang ke-2 daripada imam-imam yang empat dalam mazhab fiqh Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah dari segi umur. Beliau dilahirkan di Madinah, di desa Zulmarwah iaitu suatu tempat yang terletak di utara kota Madinah pada tahun 93 H. Mengenai tarikh kelahirannya, terdapat banyak riwayat yang berbeza, antaranya ada yang mengatakan Imam Malik dilahirkan pada tahun 93 H seperti yang dinyatakan, sementara yang lain pula ada yang mengatakan pada tahun 95 H.

Beliau berumur hampir 86 tahun. Imam Malik semasa hidupnya berjuang demi agama dan umat Islam seluruhnya. Imam Malik dilahirkan pada zaman pemerintahan al-Walid bin Abdul Malik al-Umawi. Beliau meninggal dunia pada masa pemerintahan Harun al-Rasyid di masa pemerintahan Bani Abbasiyyah. Zaman hidupnya adalah sama dengan zaman hidup Imam Abu Hanifah.

Semasa hidupnya, Imam Malik dapat mengalami dua corak pemerintahan, Umayyah dan Abbasiyyah di mana terjadi perselisihan hebat di antara dua pemerintahan tersebut. Di masa itu pengaruh ilmu pengetahuan Arab, Parsi dan India tumbuh dengan subur di kalangan masyarakat pada masa itu. Imam Malik dapat juga melihat perselisihan di antara pro-Abbasiyyah, pro-Alawiyyin dan golongan Khawarij. Dan juga antara perselisihan antara golongan Syiah, golongan Ahli al-Sunnah dan golongan Khawarij.

Di samping itu pula beliau dapat menyaksikan percampuran antara bangsa iaitu orang Arab, Parsi, Rom dan India. Oleh kerana percampuran itu, bermacam-macam pula masalah yang terjadi di dalam masyarakat yang mana memerlukan penyelesaian yang bertepatan dengan syariat Islam.

Berkaitan dengan moyangnya iaitu ‘Amir bin al-Harith’ adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang ikut berperang bersama Rasulullah kecuali dalam perang Badar. Datuknya yang pertama ialah daripada kalangan Tabi’in dengan gelaran Abu Anas. Datuknya lagi termasuk salah seorang penulis ayat suci al-Quran semasa Khalifah Usman memerintahkan supaya dikumpulkan ayat al-Quran untuk diselaraskan.

Sejarah bapa Imam Malik iaitu Anas, tidak disebutkan dalam buku-buku sejarah. Apa yang diketahui, ayahnya tinggal di suatu tempat di Zulmarwah. Ayahnya bukan seorang yang biasa menuntut ilmu walaupun demikian ayahnya pernah sedikit sebanyak memperlajari hadis-hadis Rasulullah. Ayahnya juga bekerja sebagai pembuat panah untuk menyara hidup dan nafkah bagi hidupnya. Ibu Imam Malik pula bernama al-Ghalit binti Syarik bin Abdul Rahman bin Syarik al-Azdiyyah dan ada pula riwayat yang mengatakan namanya Talhah. Tetapi ibunya lebih terkenal dengan nama yang pertama.

1.2 Karya Imam Malik

Kitab al-Muwatta’ adalah satu-satunya kitab hadith dan hasil karya Imam Malik. Bahkan hasil karya Imam Malik yang terbesar. Untuk menyiapkan kitab ini, Imam Malik mengambil masa hampir 40 tahun. Kitab ini adalah sebuah kitab yang sarat dengan hadis-hadis Rasulullah dan juga fatwa-fatwa para sahabat dan tabi’in.

Mengikut keterangan Imam Ibnu Habab, bahawa pada mulanya Imam Malik menghimpun sebanyak 100,000 buah hadis. Kemudian daripada 100,000 itu beliau selidiki lagi dengan teliti sehingga akhirnya beliau hanya mengambil 10,000 hadis sahaja. Lalu, daripada 10,000 hadis itu, beliau pilih lagi dengan menghaluskan lagi cara memeriksanya. Beliau padukan dengan al-Quran dengan sehalus-halus penelitian, akhirnya tinggal hanya 500 nuah hadis sahaja yang beliau yakini. Dan yang 500 itulah yang dimasukkan ke dalam kitab al-Muwatta’.

Menurut Imam Abu Bakar al-Abhari, isi kitab al-Muwatta’ yang tersebar di seluruh dunia pada hari ini adalah mengandungi sabda-sabda Rasulullah, kata-kata atau fatwa-fatwa sahabat dan juga tabi’in. Kesemua isinya adalah berjumlah sebanyak 1720 buah hadis dan juga athar. Kalau dibahagikan kesemua hadis dan athar itu adalah seperti berikut :-

1. Terdapat sebanyak 600 buah hadis musnad (hadis yang sanadnya sampai kepada Rasulullah).

2. Sebanyak 222 buah hadis yang mursal (hadis yang sanadnya sampai setakat sahabat sahaja).

3. Sebanyak 613 buah hadis mawquf (perkataan-perkataan sahabat).

4. Sebanyak 285 buah perkataan-perkataan tabi’in.

Tetapi Imam Sayuti pula berkata bahawa di dalam kitab al-Muwatta’, terdapat 500 hadis musnad, lebih 300 hadis mursal, lebih 70 hadis yang Imam Malik sendiri biarkan tanpa syarah. Perselisihan tentang butir-butir isi Kitab al-Muwatta’ yang dinyatakan oleh Imam Abu Bakar al-Abhari dan Imam al-Sayuti bukanlah suatu percanggahan. Ini kerana sebenarnya ulama’ yang meriwayatkan kitab al-Muwatta karangan Imam Malik itu bukan seorang dua, malah sampai 1000 orang, antara mereka ialah Imam al-Syafie dan Imam Abu Yusuf iaitu sahabat Imam Abu Hanifah.

Manakala Dr. Mustafa al-Sibai’e menyebut, terdapat hampir 30 naskhah kitab al-Muwatta’ Imam Malik yang diriwayatkan ulama’ lain, antaranya al-Muwatta’ riwayat Imam Yahya bin Kathir (Hakim besar Andalusia), al-Muwatta’ riwayat Imam Ibnu Bukier, al-Muwatta’ riwayat Imam Abi Mus’ab, al-Muwatta’ riwayat Imam Ibnu Wahbin dan al-Muwatta’ riwayat Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani. Semua isi-isi kitab al-Muwatta’ riwayat imam-imam ini sama sahaja, Cuma yang membezakannya ialah letaknya, terdahulu terkemudian dan panjang pendeknya.

1.3 Guru-Guru Imam Malik.

Mengikut kitab ‘ Tahzibul Asma wa Lughah’, bilangan guru-guru Imam Malik adalah ramai sekali iaitu sekitar 900 orang. Yang mana daripada jumlah itu, kira-kira seramai 300 orang adalah daripada generasi tabi’in, manakala yang selebihnya iaitu 600 orang lagi itu adalah daripada generasi tabi’ tabi’in peringkat awal.

Jumlah guru-guru Imam Malik begitu ramai, tetapi tidak semuanya terkemuka. Mengikut kajian para ahli sejarah,hanya enam orang sahaja gurunya yang paling menonjol, iaitu ;

1. Rabi’ah bin Abi Abdul Rahman al-Ra’yi.

Rabiah adalah guru Imam Malik yang pertama. Sebab-sebab yang mendorong Imam Malik memilih Rabi’ah menjadi gurunya yang pertama adalah sebagaimana kisah yang telah diceritakan, iaitu kehendak ibnunya sendiri. Itulah sebabnya Imam Malik telah menjadikan Rabiah al-Ra’yi gurunya yang pertama bukan kepada ulama’-ulama’ hadis. Imam Malik tidak mahu menderhakai ibunya.

Rabi’ah al-Ra’yi bukanlah orang Arab, sebaliknya beliau berbangsa Parsi. Rabi’ah dianggarkan lahir pada tahun 70 hijrah. Sebab itu beliau sempat belajar lama kepada Anas bin Malik, iaitu ketika usianya sedang remaja dianggarkan dalam lingkungan 20 tahun. Selain anas, Rabi’ah juga belajar kepada Qasim bin Muhammad, iaitu anak kepada Muhammad bin Abu Bakar As-Siddiq salah seorang fuqaha’ tujuh yang amat masyhur di Madinah.

Kepada Rabi’ah, imam malik belajar fiqh ra’yi iaitu satu ilmu tentang cara-cara bagaimana untuk mengeluarkan hukum berpandukan akal atau perbandingan. Aliran ini amat ditentang oleh kebanyakan ulama’ madinah sehingga kerana tidak sukanya mereka kepada rabi’ah, mereka menggelar Rabi’ah bin Abi Abdul rahman dengan gelaran Rabi’ah al-ra’yi yang bererti ‘rabiah ahli mengguna akal’. Maksudnya yang lebih jelas ialah ‘rabiah yang menggunakan akal fikiran di dalam memutuskan hukum’. Kerana kecenderungannya kepada aliran al-ra’yi, telah menyebabkan rabi’ah menjadi kambing hitam di kalangan ulama’-ulama’ hadis di madinah.

2. Abd al-Rahman bin Hurmuz al-A’raj

Sebagaimana Rabi’ah, Imam Abdul Rahman bin Hurmuz al-A’raj juga tinggal di Madinah. Beliau adalah ulama’ dari generasi tabi’in dan bekas hamba yang telah dimerdekakan oleh tuannya iaitu Abu Hurairah, sahabat Nabi yang terkemuka dan ahli hadis yang paling unggul daripada generasi sahabat.

Mengikut al-marhum Syeikh Muhammad al-Khudri Bek, dalam kitabnya ‘ tarikh tasyri’ fi al-islam’ bahawa Imam Abd al-Rahman bin Hurmuz adalah guru Imam Malik yang pertama, bukan Rabi’ah al-Ra’yi. Namun semua ahli sejarah sepakat mengatakan bahawa Abd al-Rahman adalah guru Imam Malik yang paling lama dan yang paling rapat. Imam Malik belajar kepadanya dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan seperti ilmu perbezaan pendapat diantara ulama’ Fiqh, fatwa dan dalil-dalil yang digunakan untuk mematah fahaman golongan hawa nafsu.

Imam Malik mendampingi gurunya ini selama 7 tahun dan tinggal bersama-sama dengannya. Selama belajar kepada imam Abd al-Rahman, Imam Malik tidak pernah mendatangi majlis ulama’-ulama’ lain.

Kerana terlalu besar hasratnya untuk belajar secara bersungguh-sungguh kepada Imam Abd al-Rahman, setiap kali datang ke rumah Imam Abd al-Rahman bin Hurmuz al-A’raj, Imam Malik selalu memberi banyak buah tamar kepada anak-anak Imam Abd al-Rahman bin Hurmuz al-A’raj dan mengajar kepada mereka agar kalau ada orang datang yang mahu berjumpa dengan beliau atau gurunya ayah mereka itu, beritahu mereka bahawa beliau dan ayah mereka sedang sibuk. Dengan cara ini beliau dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran yang disampaikan oleh Imam Abd al-Rahman bin hurmuz al-A’raj kepadanya itu. Kadang-kadang Imam Malik menuntut ilmu di hadapan gurunya itu sampai sehari suntuk.

Abd al-Rahman bin Hurmuz al-A’raj bukan berketurunan Arab. Beliau berketurunan Parsi. Al-A’raj adalah julukannya yang bermakna si tempang. Ini kerana Abd al-Rahman bin Hurmuz al-A’raj adalah seorang yang tempang. Beliau meninggal dunia di Kota Iskandariah pada tahun 117 H.

3. Qasim bin Muhammad.

Qasim bin Muhammad adalah anak Muhammad bin Abu Bakar al-Siddiq. Ibunya ialah puteri Kisra Yazdajir ke-3 yang telah ditawan oleh tentera Islam dalam salah satu pertempuran dengan tentera Parsi. Jadi beliau keturunan Arab di sebelah ayah dan berketurunan Diraja Parsi di sebelah ibunya.

Ayahnya, Muhammad adalah termasuk di kalangan mereka yang tidak berpuas hati terhadap pemerintahan Khalifah Usman bin Affan. Di dalam peperangan Siffin, ayahnya berpihak kepada Saidina Ali. Beliau mati di Mesir kerana di bunuh oleh Muawwiyah bin Hudaij, penyokong kuat Muawwiyah bin Abi Sufyan di mesir. Qasim termasuk salah seorang fuqaha’ tujuh yang amat salih di Madinah. Qasim amat alim. Beliau adalah lautan ilmu. Banyak puji-pujian yang diberi oleh ulama’ kepadanya.

4. Nafi’ Maula Ibnu Umar.

Nafi’ amat alim dan dipercayai. Dia juga bukan berketurunan Arab. Sebagaimana Abd al-Rahman bin Hurmuz al-A’raj, Nafi’ juga adalah seorang hamba yang telah dimerdekakan oleh tuannya iaitu Abdullah Ibnu Umar, seorang sahabat nabi yang terkemuka, terkenal zuhud, ahli ibadah dan amat alim serta sangat beramal dengan sunnah.

Nafi’ terdidik dengan sempurna di bawah asuhan Ibnu umar sehingga dia muncul sebagai seorang ulama terkenal di Kota Madinah. Kulitnya yang hitam legam telah terpadam oleh cahaya ilmu dan ketaqwaan yang tinggi. Sememangnya Nafi’ seorang ulama’ yang sangat taqwa dan dia dianggap sebagai seorang Ahli Hadis di peringkat Tabi’in yang paling dipercayai.

5. Said bin Musayyab.

Imam malik juga sempat berguru kepada Said bin Musayyab, iaitu sealim-alim ulama’ Madinah dan semulia-mulia tabi’in selain Uwais al-Qarni. Beliau juga adalah seorang ulama yang paling wara’ dan paling alim di masanya dan ketua fuqaha’ tujuh Madinah yang masyhur itu.

Kehidupan beliau hanyalah dibahagikan dengan mengajar, beribadat, mengerjakan haji, berjihad dan berniaga. Said mempunyai tiga orang anak gadis. Beliau mengahwinkan puteri-puterinya itu dengan Abu Hurairah, Said bin Zubir dan Abdullah bin Wadaah.

Said hidup ditengah-tengah para sahabat nabi S.A.W di Madinah. Beliau bergaul dan belajar dengan mereka. Sebab itu Said bin Musayyab amat dalam dan luas ilmunya. Beliau juga seorang yang amat takut kepada keghairahan perempuan. Diriwayatkan, semasa beliau telah pun tua kira-kira 84 tahun dan kedua-dua belah matanya pula sudah tidak boleh melihat dengan jelas, beliau ada mengeluarkan kenyataan, ”tiada yang lebih aku takuti lebih daripada perempuan”.

6. Ibnu Syihab al-Zuhri

Nama penuhnya ialah Muhammad bin Muslim bin Ubaidullah bin Syihab al-Zuhri. Dilahirkan pada tahun 50 hijrah semasa pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan. Beliau seorang ulama’ yang alim terutama dalam Ilmu Hadis. Kepintaran akalnya pula amatlah luar biasa. Beliau mampu mengingat begitu banyak hadis beserta sanadnya dengan sekali dengar sahaja.

Beliau juga adalah seorang ulama’ yang miskin dan banyak hutang, namun amat dihargai dan dipercayai oleh khalifah-khalifah Bani Umayyah terutama Khalifah Hisyam bin Abdul Malik.

Imam Malik belajar kepadanya dalam Ilmu Hadis. Beliau meninggal dunia pada tahun 122 hijrah ketika berusia 72 tahun.

1.4 Murid-Murid Imam Malik

Imam Malik memiliki murid yang banyak. Tiada seorang imam yang mempunyai murid sebanyak Imam Malik. Murid-muridnya yang mendapat layanan istimewa dari imam malik ialah :

1. Abdullah Ibnu Wahab (125H-197H)

2. Abdul Rahman Ibnu al-Qasim (128H- 191H)

3. Asyhab bin Abdul Aziz (140H- 204H)

4. Asan bin Funud (145H-213H)

5. Abdullah bin Abdul Hakam.

6. Asbagh bin al-Faraj al-Amawi

7. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam.

8. Muhammad bin Hasan Al-Syaibani

9. Muhammad bin Idris al-Syafie

Inilah para murid Imam Malik yang telah berjasa besar menyebar dan mengembangkan mazhab Imam Malik ke seluruh dunia. Boleh dikatakan hampir semua mereka tidak menyalahi atau bercanggah pendapat dengan Imam Malik di dalam memutuskan hukum kecuali sedikit.

BAB 2

PERKEMBANGAN MAZHAB MALIKI

Sebagaimana yang telah diketahui bahawa Imam Malik hidup dan mengajar di Madinah, maka tentulah mazhabnya berkembang di Madinah. Namun mazhab beliau akhirnya cepat berkembang ke seluruh dunia terutama ke Mesir setelah para muridnya yang tamat belajar dengannya pulang ke negeri masing-masing dan mengajar kepada penduduk negeri mereka.

Walaupun mazhab Maliki telah tersebar luas di banyak negeri, tetapi negeri yang paling maju di dalam mengamalkan Mazhab Maliki ialah Mesir dan Andalusia (Sepanyol).

2.1 Mesir

Diriwayatkan, orang yang mula-mula memperkenalkan Mazhab Maliki di Mesir ialah sahabat Imam Malik yang bernama Usman bin al-Hakam al-Juzami dan seorang lagi tokoh yang bernama Abdul Rahman bin Yazid bin Yahya.

Di bawah pemimpin yang terkenal iaitu Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Mazhab Maliki diamalkan dengan kuat sekali. Pada tahun 556 H, Sultan Salahuddin telah mendirikan sebuah madrasah khas untuk para ulama Mazhab Maliki mengajar di sana. Madrasah itu dinamakan ‘al-Qumhiyyah’.

2.2 Andalusia (Sepanyol)

Mazhab Maliki di bawa masuk ke Andalusia oleh pengikut setia Imam Malik bernama Ziyad bin Abdul Rahman al-Qurtubi. Peristiwa ini berlaku semasa pemerintahan Andalusia di bawah Khalifah Hisyam bin Abdul Rahman pada tahun 171-180 Hijrah.

Khalifah Hisyam begitu memandang tinggi terhadap Mazhab Malik. Untuk meneguhkan kedudukan Mazhab Maliki di hati rakyatnya, baginda telah berusaha menguatkan pengaruh Mazhab Maliki dengan cara melantik hakim-hakim yang hanya berpegang dengan Mazhab Maliki sahaja.

BAB 3

METODOLOGI MAZHAB MALIKI

3.1 al-Quran

Al-Quran adalah sumber yang utama yang dipegang oleh Imam Malik sebagai sumber rujukan. Beliau tidak akan mencari nas-nas dalam mana-mana sumber sebelum beliau mencarinya di dalam al-Quran. Setelah tiada nas dalam al-Quran, barulah Imam Malik beralih kepada sumber yang kedua pula. Oleh itu. Imam Malik mensyaratkan seseorang yang mahu menjadi mujtahid mutlak hendaklah mahir dalam ilmu Bahasa Arab. Beliau pernah berkata: “ Aku tidak menjumpai seseorang yang menafsir al-Quran tiba-tiba dia tidak alim dalam Bahasa Arab melainkan aku hukum dia dengan berat”.

Sebenarnya inilah juga sumber pertama dipegang oleh semua imam mujtahid mutlak dalam menarik hukum.

Imam Malik seorang yang sangat keras menolak kemasukan kisah-kisah Israilliyat ketika menafsir al-Quran.

3.2 Al-Sunnah

Sumber kedua yang menjadi dasar pembinaan Mazhab Maliki ialah Hadis atau Sunnah Nabi yang beliau nilai sahih. Ini adalah kerana Hadis atau Sunnah itu adalah penafsir al-Quran atau penjelas baginya. Ini telah diterangkan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud,” dan apa-apa yang dibawa oleh Rasul itu terimalah dan apa-apa yang dilarangnya maka jauhilah”.

Di dalam berpegang kepada Hadis atau Sunnah ini, Imam Malik kembali kepada hadis-hadis yang dipegang oleh ulama’-ulama’ hadis di Hijaz (Madinah). Mana-mana hadis yang para ulama’ Madinah tidak memandangnya sahih, beliau juga turut menolaknya.

3.3 Amal Ahli al-Madinah / Ijma’ Ulama’ Madinah

Imam Malik menjadikan amalan penduduk Madinah sebagai sumber hukum dalam membina mazhab beliau. Kadang-kadang beliau meninggalkan hadis, apabila beliau dapati berlawanan dengan amalan penduduk Madinah atau Ijma’ para ulama’ Madinah.

Ini satu-satunya sumber yang tidak dipakai oleh mana-mana imam mazhab. Bahkan, Imam Laith bin Saad, Abu Yusuf dan Imam al-Syafie sendiri mengkritik cara ini. Menurut Imam Laith, tiada alasan Imam Malik untuk menjadikan amalan penduduk Madinah sebagai sumber pengeluaran hukum dalam mazhab beliau. Ini kerana amalan penduduk sesebuah negeri tidak boleh dijadikan hujah. Kalau amalan satu-satu negeri boleh dijadikan hujah, tentu amalan penduduk Mekah atau satu-satu tempat lain juga boleh dijadikan sandaran di dalam membina mazhab, kerana masing-masing negeri itu tidak sunyi daripada dihuni oleh para sahabat Rasulullah.

Namun sebagai seorang ulama’ besar, tentulah Imam Malik mempunyai hujah-hujah yang kuat untuk beliau mempertahankan dirinya diatas tindakan beliau menjadikannya sebagai sumber untuk mengeluarkan hukum.

Imam Malik berpendapat bahawa penduduk Madinah amat mengetahui Sunnah-Sunnah Rasulullah dan mereka sekali-kali tidak akan bersepakat melakukan sesuatu amalan yang tidak diajarkan Rasulullah. Maka, sudah tentu ia lebih kuat untuk dijadikan sumber hukum berbanding Hadis Ahad. Sebab itulah Imam Malik lebih menerima amalan penduduk Madinah berbanding Hadis Ahad.

3.4 Qiyas

Qiyas bermaksud membuat perbandingan. Oleh itu hukum Qiyas adalah hasil daripada perbandingan antara satu persoalan baru yang tidak mempunyai nas daripada al-Quran dan hadis dengan masalah yang sudah ada jawapannya yang serupa illahnya.

Misalnya, Rasulullah pernah bersabda, ”Bersetubuh dengan isteri itu satu sedekah dan mendapat pahala”. Lalu sahabat bertanya, “Apakah bersetubuh dengan isteri juga dapat pahala?”. Rasulullah menjawab, “Bagaimana dengan perbuatan berzina? Bukankah ia satu perbuatan yang berdosa?”. Jadi jawapan Rasulullah itu adalah satu Qiyas atau perbandingan.

Imam Malik mengambil Qiyas sebagai salah satu sumber hukum mazhab beliau. Sumber ini tidak banyak berbeza dengan semua imam-imam mazhab yang lain yang juga mengambil Qiyas sebagai sumber hukum dalam mazhab masing-masing. Imam Abu hanifah adalah salah seorang imam yang banyak menggunakan Qiyas, sedang Imam Ahmad bin Hanbal sangat kurang menggunakan Qiyas.

Contoh hukum yang diputuskan dengan qiyas ialah dalam masalah hadis yang menjelaskan, ”Tiap-tiap yang memabukkan itu arak, dan tiap-tiap arak itu hukumnya haram”.

Jadi, Qiyasnya ialah ganja dan dadah itu haram hukumnya kerana ia memabukkan dan merosakkan akal fikiran orang yang menghisapnya.

3.5 Maslahah Mursalah

Maslahah mursalah bermaksud memelihara tujuan syara’ dengan cara menolak segala sesuatu yang merosakkan. Ini adalah sumber kelima yang digunakan oleh Imam Malik di dalam mazhab beliau. Ini juga satu sumber hukum yang dibuat oleh Imam Malik yang tidak menjadi kaedah atau sumber oleh imam-imam mazhab yang lain.

Contoh maslahah mursalah ialah membunuh seseorang Islam itu haram dan berdosa besar. Tetapi apabila seseorang Islam itu ditawan dan dijadikan perisai oleh pihak musuh, maka untuk dapat menghancurkan musuh perlu kepada dikorbankan tawanan muslim itu. Ini dibolehkan mengikut Mazhab Maliki kerana dibimbangkan kalau tidak dibunuh tawanan Islam itu akan menyebabkan pihak Islam dibinasakan oleh musuh, maka orang Islam yang menjadi perisai itu biarlah terkorban asalkan pihak Islam beroleh kemenangan dan tidak mengalami kemalangan jiwa yang besar.

Sungguhpun Imam Malik memakai prinsip maslahah mursalah sebagai sumber dalam mazhab beliau, namun terdapat beberapa syarat yang perlu dipegang ketika mahu menggunakan dasar ini. Syarat-syarat itu ada tiga :-

1. Hendaklah kemaslahatan yang hendak dibenarkan atau dituruti itu tidak menafikan salah satu daripada masalah asas agama dan tidak menolak dalil yang diputuskan dalam al-Quran dan Hadis daripada dalil-dalilnya.

2. Hendaklah kemaslahatan itu diterima oleh para ulama’ besar yang terkemuka.

3. Hendaklah kemaslahatan itu menyebabkan tersingkirnya kesusahan dalam beragama.

Inilah syarat-syarat bagi Imam Malik apabila beliau berhasrat untuk menggunakan kaedah maslahah mursalah dalam mengeluarkan hukum, bukan dengan perkiraan yang cetek dan mudah dipatah-patahkan oleh alasan orang yang menentang.

BAB 4

TOKOH-TOKOH DI DALAM MAZHAB MALIKI

4.1 Abu al-Walid al-Baji

Abu al-Walid al-Baji atau Sulaiman ibn Khalaf ibn Sa`d atau Sa`dun ibn Ayyub, al-Qadi Abu al-Walid al-Tujaybi al-Andalusi al-Qurtubi al-Baji al-Tamimi al-Dhahabi al-Maliki (1013 – 1081) adalah seorang yang terkenal sebagai cendekiawan Mazhab Maliki dan seorang penyair dari Andalusia (sepanyol). Beliau hidup sezaman dengan Ibn Hazm.

4.2 Abu al-Walid Muhammad al-Hafiz

Nama lengkapnya Abu al-Walid Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Rushd. Berasal dari keturunan Arab kelahiran. Ibnu Rushd lahir di kota Cordoba, Sepanyol, pada tahun 1126M, meninggal pada 1198M dan beliau hidup selama 72 tahun. Ia lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang ahli dalam bidang fiqh. Ayahnya seorang hakim. Demikian juga datuknya yang juga seorang hakim dan sangat terkenal sebagai ahli fiqh. Datuk dan cucunya mempunyai nama yang sama, iaitu Abu al-Walid. Maka untuk membezakannya, yang datuk dipanggil Abu al-Walid al-Jadd (datuk), sedang yang cucu pula iaitu Ibnu Rushd, Abu al-Walid al-Hafidz.

Semenjak kecil Ibnu Rushd belajar ilmu fiqh, matematik dan ilmu perubatan di Sevilla, kemudian berhenti dan pulang ke Cordoba untuk melakukan kajian, penelitian, membaca buku-buku dan menulis. Pada usia 18 tahun Ibnu Rushd mengembara ke Maghribi, di mana ia belajar kepada Ibnu Tufail. Dalam bidang ilmu Tauhid (teologi) ia berpegang pada fahaman Asy’ariyah. Secara ringkasnya, Ibnu Rushd adalah seorang yang ahli dalam bidang falsafah, agama, syari’at, dan perubatan yang terkenal pada masa itu. Pada tanggal 19 Safar 595 H/10 Disember 1197 Ibnu Rushd meninggal dunia di kota Marrakech iaitu di Maghribi. Beberapa tahun setelah ia wafat, jenazahnya dipindahkan ke kampung halamannya iaitu kota Cordoba, Sepanyol.

4.3 Muhiddin Abu Abdullah Muhammad

Muhiddin Abu Abdullah Muhammad ibn Ali ibn Muhammad ibn Ahmad ibn Abdullah Hatimi at-Ta’i (28 Juli 116516 November 1240) atau lebih dikenal sebagai Ibnu Arabi adalah seorang sufi terkenal dalam perkembangan tasawuf di dunia Islam. Beliau juga merupakan seorang tokoh yang pakar dalam Mazhab Maliki.

Ibnu Arabi dilahirkan pada tanggal 28 Juli 1165 di Andalusia, Spanyol. Pada usianya 8 tahun, bersama keluarganya, ia pindah ke Sevilla. Pada tahun 1198, ia pergi ke Fez, Maghribi.4.4 Shihab al-Din al-Qarafi

Shihāb al-Dīn al-Qarāfī atau nama lengkapnya Shihāb al-Dīn Abū al-‘Abbās Aḥmad ibn Idrīs (al-Sanhaji al-Bihinsi al-Misri) al-Qarāfī (1228 – 1285), adalah seorang pakar dalam mazhab Maliki. Asalnya tinggal di Ayyubid dan Mamluk, Mesir. Beliau dilahirkan di Bahnasa, Mesir sekitar tahun 1228.

PENUTUP

Maka, apa yang penting yang ingin diperjelaskan oleh penulis dalam penulisan ini adalah metodologi atau sumber hukum yang digunakan di dalam Mazhab Maliki untuk menyelesaikan sesuatu masalah agar bertepatan dengan kehendak Syara’.

Kesimpulannya, di dalam membina mazhabnya, Imam Malik mula-mula mencari dalil di dalam al-Quran. Sekiranya tiada, beliau cari pula dalam hadis. Inipun beliau lihat pula, sekiranya hadis itu telah dipandang sahih, tetapi jika beliau dapati tidak ada seorang pun daripada penduduk Madinah yang tahu hadis itu, beliau akan tolak. Disini timbullah perbezaan hukum antara mazhab beliau dengan imam lain dalam masalah yang berkaitan dengan hadis ini.

Jadi, bagi Imam Malik, amalan penduduk Madinah adalah lebih kukuh hujahnya daripada hadis sahih yang berlawanan dengan amalan penduduk Madinah lebih-lebih lagi amalan daripada Umar bin Khattab dan Umar bin Abdul Aziz, dua orang Umar yang agung.

Namun dasar mazhab beliau yang ini amat ditentang oleh kebanyakan fuqaha besar seperti daripada sahabatnya sendiri yang merupakan mujtahid mutlak di Mesir iaitu Imam al-Laith bin Saad, muridnya iaitu Imam al-Syafie sendiri dan juga Imam Abu Yusuf, sahabatnya dari Iraq.

Selepas itu, beliau melihat pula kepada Qiyas. Kemudian setelah tidak dapat Qiyas, beliau menggunakan pula sumber yang beliau namakan ‘maslahah mursalah’ atau ‘istihlah’.

Maslahah mursalah bererti memelihara tujuan syara’ dengan cara menolak segala sesuatu yang merosakkan makhluk sedangkan istislah bererti mengekalkan hukum yang telah ada atau asal kerana tiada hukum yang baru datang untuk mengubahnya atau yang belum diyakini kebenarannya.

RUJUKAN

Tarikuddin bin Haji Hassan. 2004. Riwayat Hidup 4 Imam Mazhab. Johor Bahru: Perniagaan

Jahabersa

Dr. Ahmad al-Syurbasi. 2001. Sejarah dan Biografi Empat Imam Mazhab. Terj: Drs. Sabil

Huda. Cetakan ketiga. Jakarta: Penerbit Amzah

Abd al-Rahman al-Syarqawi. 2000. Riwayat Sembilan Imam Fiqh. Terj: H. M. H al-Hamid

al-Husaini. Cetakan 1. Bandung: Pustaka Hidayah

Tengku Muhammad Hasbi al-Shiddieqy. 1997. Pokok-Pokok Pegangan Imam Mazhab.

Cetakan 1. Edisi ke-2. Semarang: PT. Pustaka Rizki Putra

Moenawar Chalil. 1965. Biografi Empat Serangkai Imam Mazhab (hanafi-maliki-syafi’e-

hanbali). Cetakan ke-2. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang


Tinggalkan Komen so far
Tinggalkan komen



Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s



%d bloggers like this: